Kerajaan diarah bayar pampasan RM2.5 juta kepada kanak-kanak alami kerosakan otak

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang mengalami kerosakan otak ketika dilahirkan dianugerahkan pampasan RM2.5 juta oleh Mahkamah Tinggi di Alor Setar selepas kerajaan mengaku bertanggungjawab dalam saman kecuaian perubatan.

Saman itu difailkan pada 2022 menerusi bapanya terhadap 10 doktor, seorang jururawat, Hospital Sultanah Bahiyah dan kerajaan atas liabiliti vikarius.

Pesuruhjaya Kehakiman, Aimi Zaini Azhar, berkata tiada pertikaian yang kanak-kanak tidak dapat dipulihkan, serta tidak akan sembuh daripada kecederaan dialami.

“Dia akan terus bergantung sepenuhnya kepada orang lain dalam semua aspek kehidupan harian.

“Namun, masih terdapat kemungkinan peningkatan dalam keupayaan fungsi dan keadaan keseluruhannya jika diberikan penjagaan, rawatan dan terapi yang sesuai,” katanya dalam penghakiman setebal 75 muka surat, lapor FMT.

Tuntutan itu antara lain melibatkan jangka hayat mangsa serta keperluan penjagaan dan rawatan masa depan.

Prosiding dua tahun lalu hanya melibatkan penilaian jumlah pampasan, dengan saksi kedua-dua pihak memberi keterangan.

Jumlah pampasan keseluruhan RM2,548,850.12 merangkumi RM1,389,414 bagi ganti rugi masa depan, RM314,686.12 ganti rugi khas, RM400,000 ganti rugi am, RM200,000 ganti rugi am masa depan, RM150,000 kos guaman dan RM36,159.72 perbelanjaan.

Mahkamah memerintahkan pampasan itu diletakkan dalam dana amanah yang diurus bersama ibu bapa kanak-kanak terbabit.

“Rekod penyelenggaraan dan perbelanjaan wang itu hendaklah disimpan dengan teratur,” katanya.

Peguam Manmohan Singh Dhillon, Desmond Mun dan Alicia Chin mewakili plaintif, manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Siti Asmath Che Man.

Kedua-dua pihak memfailkan rayuan berhubung jumlah pampasan.

Menurut fakta kes, ibu kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital pada 13 Mei 2017 selepas mengalami kesakitan sebelum dipindahkan ke bilik bersalin.

Pada 15 Mei, pemeriksaan faraj mendapati serviks telah terbuka sehingga 5cm dan prosedur pecah air ketuban dilakukan, dengan cecair jernih diperhatikan.

Proses kelahiran cuba dibantu menggunakan alat vakum, namun tiga tarikan vakum oleh pegawai perubatan hanya menyebabkan sedikit pergerakan kepala janin.

Kanak-kanak itu akhirnya dilahirkan pada 3.09 pagi selepas dua lagi tarikan dilakukan pegawai perubatan lain.

Beliau mengalami hypoxic ischaemic encephalopathy tahap V yang menyebabkan kecederaan otak teruk dan kekal.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img