Samsuri ‘nafas baharu’ PN, mampu tarikan sokongan bukan Melayu – Iskandar

PEMIMPIN  Pas menolak dakwaan parti itu ketandusan tokoh berkualiti seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik sokongan bukan Melayu, sambil menamakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai ‘nafas baharu’ gabungan itu.

Bendahari Pas Datuk  Iskandar Samad mengakui Muhyiddin mempunyai kualiti tertentu sebagai pemimpin, namun berkata, bekas Perdana Menteri itu mewakili ‘order lama’ dan sudah diberi peluang menerajui negara.

“Negara memerlukan kepimpinan baharu dan Samsuri adalah nafas baharu yang diperlukan rakyat Malaysia. Sambutan daripada rakyat apabila Dr Sam menjadi Pengerusi PN amat memberangsangkan. Imej beliau selesa dengan setiap lapisan rakyat dan pelbagai kaum,’’ katanya kepada FMT.

Iskandar mengulas hantaran Presiden Urimai P Ramasamy di Facebook pada 8 Mei lepas yang mendakwa tiada pemimpin Pas mampu menandingi kualiti Muhyiddin dari segi pengalaman politik nasional dan kepimpinan.

Ramasamy turut mendakwa Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih bimbang terhadap Muhyiddin berbanding pemimpin nasional Pas kerana Ahli Parlimen Pagoh itu lebih diterima masyarakat bukan Melayu.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, sekiranya Muhyiddin masih mempunyai pengaruh, beliau lebih sesuai memainkan peranan sebagai negarawan dan menggerakkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) sebagai NGO, bukan platform politik baharu.

“Cukuplah dengan PN. Tidak perlu banyak gabungan atau platform. Terlalu banyak politik akan membosankan rakyat. Kalau betul Muhyiddin masih memiliki pengaruh, mungkin IPR boleh berperanan sebagai NGO untuk menguatkan PN,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PasPusat Dr Halimah Ali berkata, kekuatan PAS dan PN tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata.

Katanya, Pas mengamalkan kepimpinan kolektif, musyawarah dan disokong golongan teknokrat serta profesional dalam pelbagai bidang.

“Pas sangat teliti mengatur langkah dan strategi politik. PAS bukan sekadar pemain biasa di gelanggang politik.

“Pas menghormati Muhyiddin sebagai tokoh negarawan dan meraikan kewujudan serta peranan IPR. Namun Pas sudah tentu mempunyai pelan tersendiri untuk mengemudi PN memimpin masyarakat majmuk,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img