Kuota BUDI95 mungkin dikurangkan kepada 150 liter – Liew Chin Tong

KERAJAAN berpotensi mengurangkan kuota penggunaan petrol RON95 di bawah program BUDI95 kepada 150 liter sebulan susulan kebimbangan terhadap krisis bekalan bahan api global akibat konflik Asia Barat.

Walaupun tiada garis masa yang diberikan untuk potensi pengurangan itu, ia boleh dilaksanakan memandangkan program BUDI95 mempunyai keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci, sekali gus membolehkan kerajaan melakukan pelarasan subsidi dan pengurusan bekalan secara lebih fleksibel mengikut keperluan semasa.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, majoriti rakyat sebenarnya menggunakan petrol jauh lebih rendah daripada kuota semasa.

Beliau berkata, kuota penggunaan pada masa ini ialah 200 liter sebulan, dikurangkan daripada paras kuota sebelum ini sebanyak 300 liter.

“Walaupun berlaku pengurangan, kesannya kepada majoriti rakyat didapati amat minimum apabila data menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.

“Langkah seterusnya ialah 150 liter. Data menunjukkan kira-kira 60 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 150 liter sebulan, malah 50 peratus menggunakan bawah 100 liter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘Fireside Chat’ bertajuk Malaysia’s Response to Global Energy Crisis: Build Back Better sempena AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026 hari ini.

Chin Tong berkata, fokus utama kerajaan ketika ini bukan semata-mata mahu mengurangkan beban subsidi, tetapi memastikan bekalan bahan api negara mampu bertahan lebih lama jika konflik global berterusan.

Katanya, program BUDI95 kini membantu kerajaan mendapatkan data penggunaan sebenar rakyat bagi membolehkan pelarasan subsidi dibuat dengan lebih tepat dan fleksibel.

Beliau turut menegaskan golongan berpendapatan rendah serta pengguna motosikal akan terus diberi perhatian kerana mereka paling terkesan sekiranya harga petrol meningkat mendadak.

“Pengguna motosikal misalnya dianggarkan hanya menggunakan sekitar 50 liter sebulan dan mereka perlu terus menikmati subsidi tinggi supaya kos sara hidup tidak meningkat,” katanya.

Dalam masa sama, Chin Tong berkata kerajaan juga sedang merancang mekanisme subsidi diesel bersasar untuk Sabah dan Sarawak seperti dilaksanakan menerusi BUDI95.

Beliau menambah, negara perlu mempercepatkan pelaburan dalam pengangkutan awam, elektrifikasi dan pembangunan bandar lebih padat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap minyak dalam jangka panjang.

Dalam pada itu, beliau berkata program BUDI95 bukan sekadar mekanisme subsidi bersasar bahan api, sebaliknya sebagai alat penting untuk mengurus permintaan dan memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi sekiranya konflik geopolitik global berpanjangan.

Menurutnya, data penggunaan yang diperoleh menerusi BUDI95 kini memberi gambaran lebih jelas mengenai corak penggunaan bahan api rakyat Malaysia, sekali gus membantu kerajaan membuat pelarasan subsidi secara lebih tepat mengikut keadaan semasa.

Chin Tong berkata, fokus utama ketika ini bukan semata-mata isu fiskal atau pengurangan beban subsidi kerajaan, sebaliknya memastikan bekalan bahan api negara dapat dikekalkan untuk tempoh lebih panjang sekiranya peperangan atau ketegangan global terus berlarutan.

Justeru, katanya, usaha mengurangkan penggunaan bahan api dianggap penting bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara konsisten kepada rakyat walaupun pada kadar yang lebih terkawal.

“Jika rakyat dapat menerima keperluan untuk mengurangkan penggunaan demi memastikan bekalan berterusan, isu fiskal akhirnya akan dapat ditangani secara tidak langsung,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img