Empat mayat mangsa bot bawa PATI tenggelam ditemukan

Empat mayat dipercayai mangsa bot yang membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia, yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor ditemukan, tengah hari tadi.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan terapung sekitar jam 2 petang oleh Pasukan Polis Marin (PPM) pada kedudukan kira-kira 16 batu nautika dari Pulau Talang, berhampiran Segari.

Menurutnya, daripada empat mayat itu, tiga mangsa dipercayai wanita manakala seorang lagi lelaki.

“Mayat-mayat ini ditemukan terapung dan dipercayai hanyut mengikut arus laut ke arah utara dari lokasi kejadian bot tenggelam semalam.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan memandangkan masih terdapat 10 lagi mangsa yang belum ditemukan,” katanya dalam sidang media di Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Kampung Acheh di Lumut, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, operasi SAR memasuki hari kedua hari ini selepas dimulakan pagi semalam dan ditangguhkan pada petang hari sama.

Katanya, semalam pasukan SAR hanya menemukan tiga beg dipercayai milik mangsa.

“Biasanya pergerakan mayat atau objek terapung di laut akan mengikut arus dan kita jangkakan ia bergerak ke arah utara, kira-kira 10 batu nautika dari lokasi dipercayai mangsa tenggelam,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, radius pencarian hari ini diperluas sehingga 151 batu nautika dari lokasi aduan.

Beliau berkata, antara cabaran operasi SAR ialah tiada petunjuk jelas di permukaan laut seperti tompokan minyak atau serpihan lain yang boleh membantu mengesan lokasi mangsa.

Dalam kejadian itu, sebuah bot dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia dilaporkan tenggelam di perairan Pulau Pangkor awal pagi semalam.

Maritim Malaysia menerima aduan sekitar jam 5.30 pagi daripada seorang nelayan tempatan yang menemui mangsa terapung di laut sebelum operasi diaktifkan jam 6 pagi.

Setakat ini, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia.

Operasi SAR membabitkan pelbagai aset termasuk KM Gagah, Benteng 1203, KD Sri Indera Sakti, Helikopter Fennec TLDM, dua Fast Combat Boat (FCB) TLDM, pesawat Bombardier CL415 APMM serta Bot PAC 16 milik PPM.

Siasatan awal mendapati bot berkenaan dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei lalu menuju ke Malaysia dengan pelbagai destinasi dipercayai termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img