HELAH sindiket pengedaran dadah menggunakan khidmat ‘runner’ dengan bayaran serendah RM100 bagi setiap penghantaran akhirnya terbongkar selepas polis menahan 16 individu termasuk 11 warga asing dalam lima serbuan sekitar Cheras dan Bukit Jalil minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, sindiket itu dipercayai aktif membekalkan dadah kepada pelanggan pusat hiburan dengan urusan tempahan dibuat melalui aplikasi WeChat.
“Semua suspek berusia antara 20 hingga 60-an dan dipercayai terbabit dalam kegiatan tersebut sejak dua hingga tiga bulan lalu.
“Semua yang ditahan dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ dengan kadar upah kira-kira RM100 bagi sekali penghantaran.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan dalang utama sindiket,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hari ini.
Menurut beliau, tiga serbuan pertama pada 8 Mei lalu dipercayai saling berkait dan membabitkan sindiket sama.
“Serbuan pertama jam 11.15 pagi di sebuah hotel di Taman Maluri membawa kepada penahanan seorang wanita warga Vietnam bersama rampasan methamphetamine dan ketamin dianggar bernilai RM50.
“Hasil soal siasat kemudian membawa kepada dua lagi serbuan di Bukit Jalil yang menyaksikan penahanan beberapa lagi suspek termasuk warga Vietnam, Bangladesh dan tempatan,” katanya.
Dalam serbuan itu, beliau berkata, polis merampas 87 gram (g), Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 1.64g ketamin dan wang tunai RM700 dalam serbuan itu.
“Seterusnya, kita menyerbu sebuah lagi kediaman di Bukit Jalil kira-kira jam 1.15 tengah hari membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam
“Dalam serbuan ini, polis menemui 3 liter (L) cecair MDMA serta 879g serbuk MDMA,” katanya.
Menurutnya, keseluruhan rampasan bagi tiga serbuan ini adalah 31g methamphetamin, ketamin (2.65g), cecair MDMA (3L) dan serbuk MDMA (961.72g) dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7,247.
Rosdi berkata, sembilan daripada suspek didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin.
Katanya, semua suspek direman tujuh hari sehingga 15 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Semakan mendapati semua 11 warga asing yang ditahan mempunyai dokumen perjalanan sah, namun semakan lanjut masih dijalankan dengan pihak Jabatan Imigresen.
Dalam kes berasingan, Rosdi berkata, polis menyerbu sebuah bilik sewa di Taman Tenaga, Cheras pada Jumaat lalu yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan.
“Hasil pemeriksaan menemui 1.25 kilogram (kg) serbuk MDMA, cecair MDMA (8.8L), pil ekstasi dan erimin 5 (2.79g) serta wang tunai RM100 dengan nilai keseluruhan RM13,700,” katanya.
Katanya, saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.
Beliau berkata, satu lagi serbuan pada jam 10.35 malam Sabtu lalu di sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan.
“Polis menemui 2.5L cecair MDMA, ketamin 10g), kartrij vape disyaki mengandungi 2ml cecair MDMA dan pil ekstasi (33.9g) dengan nilai keseluruhan RM6,000.
“Saringan awal air kencing mendapati suspek positif ketamin dan mempunyai satu rekod dikehendaki berkaitan kesalahan dadah,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dalam kes itu direman hingga 14 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


