CUBAAN menyeludup 300 guni beras dipercayai dari negara jiran menggunakan sebuah lori gagal selepas kenderaan itu ditahan dalam operasi di Kilometer 69, Jalan Gerik-Kuala Kangsar dekat Simpang Tiga Felda Papulut, awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi menerusi Op Taring Bravo 4 itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pemandu lori terbabit.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, serbuan dijalankan Bahagian Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan beras berkenaan.
“Polis turut merampas sebuah lori Nissan UD 25000 kilogram bersama 300 guni beras dipercayai diseludup masuk dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM184,000 manakala nilai beras sahaja dianggarkan RM69,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.
“Tangkapan bersama rampasan diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Perak untuk tindakan lanjut.
“Operasi ini berjaya memutuskan aktiviti rangkaian penyeludupan beras tidak bercukai selain kemasukan beras menggunakan laluan tidak sah,” ujarnya.


