DEWAN Ulama Pas Pusat DUPP telah memberi teguran serta peringatan secara dalaman kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Nik Zawawi Salleh agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para Sahabat Rasulullah.
Ketua Penerangan DUPP, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, dewan itu memandangkan serius polemik yang timbul susulan ceramh Dr.Nik Muhammad Zawawi.
‘’Setelah meneliti sedutan rakaman ceramah tersebut serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, DUPP mengakui bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan para Sahabat Rasulullah SAWkhususnya Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar RA dan Saidina Uthman RA sebelum Islam,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa para Sahabat Rasulullah SAW merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka.
‘’Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih,’’ katanya.
Mohd Nor berkata, DUPP menghargai teguran para asatizah dan ilmuwan yang disampaikan secara beradab, ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih.
‘’Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat. DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar etiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam.


