Tiada anggota MALBATT cedera dalam letupan di Naqoura, Lubnan

MENTERI Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan, tiada anggota tentera Malaysia yang cedera dalam letupan dipercayai melibatkan dron berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil HQ), Naqoura, semalam.

Letupan itu berlaku kira-kira 5.30 petang (waktu Malaysia) berhampiran Malaysia House — kemudahan rehat lima pegawai ATM yang bertugas sebagai Pegawai Staf Tentera (PST) di bawah Unifil HQ.

 Lokasi itu kira-kira 24km dari Kem Marakah, penempatan utama pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt 850-13) di selatan Lubnan.

“Kira-kira 5.19 petang (waktu Malaysia), siren amaran dibunyikan dan arahan memasuki bunker dikeluarkan kepada semua PST bertugas di Markas Unifil sebagai langkah keselamatan susulan situasi ancaman di kawasan operasi.

“Letupan tersebut dipercayai berlaku berhampiran pagar perimeter Unifil HQ pada jarak kira-kira 20m dari Malaysia House dan mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tiada laporan kecederaan atau kehilangan nyawa melibatkan pegawai Malaysia atau staf Unifil kerana semuanya berada dalam bunker ketika letupan berlaku.

Susulan itu, katanya, kawasan sekitar Malaysia House ditutup sementara bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa Unifil serta elemen berkaitan.

Katanya, penilaian lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tahap kerosakan struktur bangunan dan peralatan, dengan pembaikan akan diselaraskan melalui elemen Malbatt 850-13.

Khaled berkata, kementeriannya melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau situasi semasa di kawasan operasi, selain bekerjasama rapat dengan Unifil dan elemen berkaitan bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img