SEORANG pejalan kaki maut dalam keadaan tragis apabila dipercayai dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) sebelum tercampak ke dalam longkang sedalam dua meter di Batu 5, Jalan Kapar, Klang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pemandu SUV berwarna hitam itu dipercayai terus melarikan diri sebaik melanggar mangsa yang berusia lingkungan 30-an.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan itu pada jam 3.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati SUV terbabit yang bergerak dari arah Klang menghala ke Kapar dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh mangsa yang berada di bahu jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke dalam parit, manakala pemandu kenderaan terbabit bertindak melarikan diri.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vijaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dikejarkan ke lokasi.
“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an berada dalam longkang selepas dirempuh sebuah kenderaan.
“Anggota bertugas mengangkat mangsa dengan menggunakan pengusung (stretcher) dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.


