Malaysia kesal Norway sekat eksport peluru berpandu, pertimbang tindakan lanjut

KERAJAAN Malaysia melahirkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan Norway yang tidak meluluskan permit eksport bagi perolehan siri peluru berpandu negara walaupun kontrak berkenaan sudah dimeterai sejak 2018.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan dibuat pada saat akhir itu menyebabkan syarikat Norway terbabit gagal meneruskan pembekalan seperti dipersetujui sebelum ini.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan hasil terkini perbincangan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Norway semalam.

“Kerajaan Malaysia sama sekali tidak dapat menerima alasan-alasan yang dikemukakan oleh kerajaan Norway.

“Kontrak tersebut telah dilaksanakan tanpa sebarang isu sejak dimeterai pada 2018 dan semua aspek pembayaran juga dibuat mengikut jadual,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Menurutnya, kerajaan kini sedang melaksanakan usaha melalui saluran diplomatik selain mempertimbangkan tindakan susulan yang sewajarnya dari sudut perundangan.

Katanya, perancangan dan pelaksanaan pelan pertahanan negara merupakan kepentingan strategik yang tidak boleh dikompromi dalam apa juga keadaan.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, akan bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura akhir bulan ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan mengejut kerajaan negara itu menyekat lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia.

Mohamed Khaled berkata, pertemuan itu juga akan digunakan untuk menyatakan kekesalan dan rasa terperanjat kerajaan Malaysia terhadap tindakan Norway yang membatalkan penghantaran aset berkenaan, hanya beberapa hari sebelum tarikh yang dijadualkan pada Mac lalu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img