HASIL kerjasama strategi bersama tiga syarikat telekomunikasi utama negara, RTM dan Unifi TV akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026.
Ketika mengumumkan berita yang pasti menggembirakan peminat bola sepak tanah air itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata jalinan kerjasama melibatkan Unifi, CelcomDigi dan U Mobile itu bukan sahaja memperluas akses sukan bertaraf dunia kepada rakyat malah memperkukuh peranan penyiaran awam dalam menyediakan kandungan berkualiti tanpa kos tambahan.
“Sebentar tadi, RTM selaku stesen penyiaran awam di bawah Kementerian Komunikasi telah secara rasminya mengumumkan jalinan kerjasama strategik bersama dengan tiga syarikat telekomunikasi utama negara iaitu Unifi, CelcomDigi dan U Mobile.
“Hari ini, sukacita saya umumkan bahawa kesemua 104 perlawanan akan ditayangkan dalam RTM dan Unifi TV,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri hari ini.
Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperluas akses rakyat kepada kandungan berkualiti dan memanfaatkan sukan sebagai medium perpaduan nasional.
Sementara itu Ketua Pengarah Penyiaran RTM Ashwad Ismail berkata penglibatan penaja korporat membolehkan kerajaan meminimumkan perbelanjaan bagi mendapatkan hak penyiaran kejohanan berprestij tersebut.
“Ini hasil kerjasama strategik pelbagai pihak, sebahagian besarnya adalah daripada penaja syarikat korporat dan ia adalah perbelanjaan paling minimum (oleh RTM),” katanya.
Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada yang menjadi tuan rumah bersama dengan aksi di Mexico City pada 11 Jun manakala perlawanan akhir di New Jersey pada 19 Julai.


