KERAJAAN Negeri Pahang komited dalam memastikan hutan di negeri tersebut terus dipelihara sebagai khazanah alam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan bahawa keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri tersebut adalah sebanyak 44.13 peratus.
“Bagi menjawab persoalan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Tahan berkaitan keluasan kawasan hutan simpan di Pahang yang masih kekal sehingga kini dan dasar kerajaan negeri untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan serta pemeliharaan alam sekitar.
“Keluasan HSK di Negeri Pahang sehingga kini adalah kira-kira 1.589 juta hektar, iaitu 44.13 peratus daripada keseluruhan keluasan Negeri Pahang yang berjumlah 3.60 juta hektar.
“Jumlah ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kawasan hutan terus dipelihara sebagai khazanah alam yang amat bernilai kepada generasi masa kini dan akan datang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pelbagai dasar telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.
“Dasar-dasar ini termasuklah mengamalkan konsep Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management) dalam pengurusan hutan dan mengekalkan keluasan kawasan HSK di Negeri Pahang.
“Selain itu, mengenal pasti kawasan berhutan lain di atas tanah kerajaan melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk dicadangkan sebagai HSK baharu dari masa ke semasa.
“Seterusnya, memastikan kawasan HSK yang dinyahwartakan bagi tujuan pembangunan ekonomi dan kepentingan awam diganti dengan kawasan tanah kerajaan berhutan yang lain yang mempunyai nilai setara.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk memastikan kawasan HSK terus terpelihara demi menjamin kelestarian flora dan fauna, keseimbangan ekosistem serta kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Pahang 1st,” katanya lagi.


