Seorang lelaki yang bekerja sebagai penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian warga emas di sebuah restoran makanan segera di Desa Jaya, Kepong minggu lalu.
Tertuduh, Toh Kai Lun, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azlin Othman.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang memakai baju-T ungu itu didakwa menyebabkan kematian Lim Kim Thong, 76, di Desa Jaya Kepong dalam daerah Gombak antara jam 5.20 petang hingga 5.40 petang pada 5 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ernie Ahmad.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Ernie memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan keluarga anak guamnya hanya mampu menyediakan RM5,000.
“Saya dimaklumkan kakak tertuduh hanya mampu menyediakan RM5,000 untuk jaminan. Saya mohon mahkamah mempertimbangkan jaminan mengikut kemampuan tertuduh,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin.
Selain itu, syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran kediamannya.


