Warga emas dibunuh: Suspek jiran direman 5 hari

SEORANG lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan wanita warga emas di Taman Desa Aman, Ipoh, direman selama lima hari bermula hari ini hingga 9 Mei bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas suspek ditahan pada malam kejadian.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku antara jam 4.45 petang hingga 10 malam, iaitu tempoh kali terakhir mangsa dilihat keluar dari rumah sebelum ditemui maut.

“Pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian melalui panggilan telefon daripada anak mangsa kira-kira jam 10 malam.

“Bagaimanapun, masa sebenar kejadian masih dalam siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang juga jiran mangsa berjaya ditahan di sekitar lokasi kejadian pada malam sama.

“Siasatan turut mendapati orang kena tahan (OKT) pernah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Februari lalu bagi mendapatkan rawatan psikiatri,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa berusia 70 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di rumahnya dengan kesan kecederaan dipercayai akibat ditetak pada bahagian badan, kepala dan leher.

Polis turut menemui sebilah parang di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan dalam serangan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img