KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mewajibkan Sijil Analisis (CoA) bagi lima jenis sayuran import yang akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun ini, dalam usaha memperketat kawalan keselamatan makanan negara.
Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lima jenis sayuran tersebut adalah cili merah, timun, tomato, sayur sawi dan kubis bulat.
“Langkah ini dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara, khususnya dalam memastikan sayuran import yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan syarat CoA itu akan dibuat secara bersepadu melalui kerjasama antara Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di semua pintu masuk negara.
KPKM berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan itu berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kestabilan bekalan sayuran di dalam negara.
Menurutnya lagi, panduan permohonan CoA akan dimuat naik melalui laman sesawang rasmi kementerian dalam masa terdekat untuk rujukan pengimport dan pihak berkepentingan.


