ITU PP-26: Pemilihan kepimpinan bagi tempoh empat tahun bermula, tumpuan kepada dua jawatan tertinggi

PROSES pemilihan kepimpinan tertinggi Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi tempoh empat tahun akan datang bermula hari ini, dengan tumpuan kepada jawatan Setiausaha Agung dan Timbalan Setiausaha Agung badan telekomunikasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Pemilihan yang berlangsung bersempena dengan Persidangan Plenipotensiari ITU 2026 (PP-26) di Doha, Qatar merupakan antara agenda penting persidangan yang diadakan setiap empat tahun, bagi menentukan kepimpinan dan hala tuju strategik kesatuan berkenaan.

Bagi jawatan Setiausaha Agung, penyandangnya Doreen Bogdan-Martin dari Amerika Syarikat merupakan satu-satunya calon yang disenaraikan untuk pemilihan kali ini.

Sementara itu, tiga calon menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Setiausaha Agung iaitu Carlos Baigorri dari Brazil, Stephen Bereaux dari Bahamas dan Adel Darwish dari Bahrain, lapor Bernama.

Pemilihan berkenaan akan menentukan barisan kepimpinan tertinggi yang bertanggungjawab menerajui ITU, ketika sektor telekomunikasi global berdepan perubahan pesat susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI), teknologi satelit dan persediaan ke arah rangkaian generasi keenam (6G).

Selain dua jawatan tertinggi itu, negara anggota turut akan memilih pengarah bagi tiga biro utama ITU iaitu Biro Radiokomunikasi, Biro Pemiawaian Telekomunikasi dan Biro Pembangunan Telekomunikasi.

Pemilihan itu juga merangkumi keanggotaan Majlis ITU yang mempunyai 48 kerusi serta Lembaga Peraturan Radio (RRB), yang dianggotai 15 ahli pula dijadual pada 16 November ini.

Bagi Malaysia, proses pemilihan kali ini turut membawa kepentingan tersendiri apabila negara berusaha mengekalkan kerusi dalam Majlis ITU, bagi penggal 2027 hingga 2030.

Malaysia diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran dan turut dihadiri Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali.

PP-26 yang berlangsung dari 9 hingga 27 November di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha (DECC), merupakan persidangan tertinggi ITU dan diadakan setiap empat tahun bagi menentukan dasar, kepimpinan serta hala tuju strategik organisasi itu.

ITU adalah agensi khusus PBB bagi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), yang berperanan dalam pemiawaian telekomunikasi, penyelarasan spektrum frekuensi radio dan orbit satelit serta usaha merapatkan jurang digital global.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here