DUA lagi mayat mangsa bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI warga Indonesia yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor pada 11 Mei lalu ditemukan malam tadi dan pagi ini, menjadikan jumlah mayat ditemukan 11 orang setakat ini.
Terbaharu, mayat mangsa dipercayai lelaki itu ditemukan kira-kira jam 9.27 pagi ini oleh aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), FCB 1001 pada kedudukan 5.6 batu nautika barat daya Pulau Pangkor.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti di pangkalan kira-kira jam 10.20 pagi untuk tindakan lanjut.
Malam tadi, mayat ke-10 mangsa bot itu ditemukan sekumpulan nelayan kira-kira jam 7.40 malam pada kedudukan 3.6 batu nautika timur laut dari lokasi kejadian.
Mayat berkenaan diambil aset Pasukan Polis Marin (PPM), PSC 16 daripada vesel nelayan tempatan (VNT) yang menemukan mangsa, sebelum dibawa ke jeti.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kelima diteruskan hari ini membabitkan tujuh aset utama daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), TLDM dan PPM.
Aset terlibat adalah KM Malawali dan Benteng 1203 milik Maritim Malaysia, KD Sri Indera Sakti, FCB 1001 serta FCB 1030 milik TLDM, selain PSC 16 dan PSC 24 milik PPM.
Operasi hari ini meliputi keluasan sektor pencarian 215.14 batu nautika persegi.
Setakat ini, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan, manakala 11 mayat sudah ditemukan membabitkan enam lelaki dan lima perempuan.
Tiga lagi mangsa masih hilang dan operasi SAR sedang giat dijalankan kesemua pasukan terbabit.
Dalam kejadian awal pagi 11 Mei lalu, sebuah bot dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia dilaporkan tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika barat Pulau Pangkor.


