KEDUDUKAN Datuk Razali Idris sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal ketika ini masih kekal dan tidak berlaku kekosongan kerusi secara automatic.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, isu itu timbul susulan keputusan Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap Razali yang didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, tiga tahun lalu.
Menurut beliau, dari sudut perundangan, persoalan utama adalah sama ada hukuman tersebut menyebabkan seseorang wakil rakyat hilang kelayakan sebagai ADUN.
“Secara umum, Perlembagaan memperuntukkan bahawa seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara melebihi tempoh tertentu atau dikenakan denda melebihi had yang ditetapkan oleh undang-undang.
“Bagaimanapun dalam kes berkenaan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda tepat RM2,000 dan bukannya melebihi jumlah tersebut… sehubungan itu, berdasarkan tafsiran literal terhadap peruntukan kelayakan berkenaan, kedudukan Razali sebagai ADUN Kijal pada masa ini dilihat masih kekal dan tidak berlaku kekosongan kerusi secara automatik,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Media hari ini melaporkan, Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Terengganu menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 selepas mendapati beliau bersalah mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRK Kemaman, pada tahun 2023.
Peguam Shahril Nizam Mohd Amin yang mewakili Razali, memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid bahawa beliau telah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk menarik balik notis rayuan yang difailkan pada 5 Jan lepas.
Mahkamah kemudian membatalkan notis rayuan itu.
Pada 24 November 2023, bekas Ketua Penerangan Bersatu itu minta dibicarakan atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut apabila mendakwa keputusan satu kes mahkamah dikawal oleh kerajaan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu antara 9.30 dan hingga 11.30 malam pada 10 November 2023 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.


