EMPAT lagi mayat mangsa bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor ditemukan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut meningkat kepada 16 orang setakat ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, tiga daripada mangsa ialah lelaki dan dijumpai pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Pulau Buloh manakala satu lagi belum dikenal pasti identitinya dan ditemukan sekitar 21.4 batu nautika barat daya Pulau Sangga Kechil.
“Mayat yang belum dapat disahkan identiti itu dijumpai oleh pihak Maritim Malaysia melalui PERKASA 1238 sekitar sekitar 3 petang manakala tiga lagi dijumpai oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekitar jam 5.45 petang tadi,” katanya ketika dihubungi media malam ini.
Beliau berkata, jumlah mangsa yang diselamatkan ialah 23 orang manakala 16 lagi terkorban, menjadikan jumlah keseluruhan 39 setakat ini berbanding 37 seperti dilaporkan sebelum ini.
“Esok merupakan hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat dijalankan… sekiranya tiada lagi penemuan mayat, operasi berkenaan berkemungkinan ditamatkan,” katanya.
Dalam kejadian pada 11 Mei lalu, sebuah bot membawa PATI warga Indonesia tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan ke beberapa destinasi di negara ini.


