Siasatan SPRM terhadap Pengerusi IJM selesai, tiada tindakan lanjut

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyelesaikan siasatannya terhadap Pengerusi Bukan Eksekutif IJM Corporation Bhd (IJM), Tan Sri Krishnan Tan dan mengklasifikasikan kes sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

IJM dalam kenyataan hari ini mengalu-alukan penyelesaian siasatan berkaitan tawaran pengambilalihan sukarela oleh Sunway Berhad.

TAN Sri Krishnan Tan

Menurut syarikat itu, seperti yang diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 24 Mac lalu, SPRM telah mengesahkan bahawa siasatan tersebut tidak melibatkan IJM sebagai sebuah entiti.

“Syarikat telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses tersebut dan kekal komited untuk menyokong pihak berkuasa sebagaimana yang diperlukan.

“Dengan selesainya perkara ini, IJM akan terus mara dengan penuh tekad, memberi tumpuan kepada pelaksanaan keutamaan strategiknya serta membuka nilai portfolio merentasi perniagaan teras kumpulan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Krishnan dalam kenyataan peribadi mengalu-alukan keputusan tersebut sambil menegaskan bahawa beliau sentiasa mempertahankan dirinya sebagai tidak bersalah sepanjang tempoh berkenaan.

“Siasatan dan publisiti yang diberikan telah menyebabkan kerosakan besar terhadap reputasi saya serta menjejaskan hasil sepanjang hayat perkhidmatan awam dan korporat saya.

“Ia juga memberi tekanan yang amat besar kepada keluarga, rakan-rakan serta organisasi yang saya wakili. Kepada mereka semua saya amat berterima kasih, khususnya isteri, keluarga dan sahabat handai yang sentiasa berdiri teguh bersama saya,” katanya.

Menurut Krishnan, beliau meninggalkan tempoh sukar itu dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Pada Februari lalu, SPRM menahan Krishnan bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img