KERAJAAN negeri melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) melaksanakan tindakan penguatkuasaan pencerobohan tanah membabitkan operasi pemusnahan tanaman seluas 1,976 hektar di negeri itu sehingga kini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sepanjang tempoh itu, UPNP turut menyita jentera, kenderaan dan peralatan yang dianggarkan bernilai RM16.5 juta.
Beliau berkata, sebanyak 356 kes pendakwaan dengan kutipan denda dan kompaun direkodkan berjumlah RM7.17 juta.
“Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah berdasarkan kesalahan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) iaitu menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.
“Selain itu, membersih, membajak, menggali, mengepungi atau menanami mana-mana tanah sedemikian atau bahagian darinya atau memotong atau memindah apa-apa kayuan atau hasil atas atau dari tanah sedemikian,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Fadzli Mohd Ramly (ADUN Lantikan) yang ingin mengetahui tindakan penguatkuasaan pencerobohan tanah di Pahang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Kuantan hari ini.


