Pelajar bukan aliran kebangsaan perlu duduki BM, Sejarah dalam SPM untuk ke IPTA

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan, pelajar bukan aliran kebangsaan termasuk sekolah antarabangsa, tahfiz, sekolah agama serta sekolah persendirian Cina tetap diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melayakkan mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keputusan Kabinet sebelum ini hanya membuka laluan bagi kursus tertentu dan tidak memberi akses menyeluruh kepada sistem pendidikan di luar aliran kebangsaan.

Menurut beliau, syarat asas kemasukan ke semua kursus di IPTA masih berpaksikan sistem pendidikan negara, iaitu wajib memiliki SPM.

“Jadi kerajaan telah pun membuat pertimbangan ini untuk laluan bagi kursus berkenaan, tapi asasnya tetap kepada SPM itu. Maknanya wajib ada SPM. SPM wajib kalau kalau nak masuk ke ke universiti. SPM itu tetap wajib walaupun dia belajar aliran itu, dia belajar aliran ini.

“Ya, itu keputusan Kabinetlah, melainkan ada untuk bagi apa yang diputuskan juga untuk mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu yang telah yang yang diiktiraf oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Tambah Zambry, kursus tertentu itu membabitkan bidang pengajian Islam serta sastera dan pengajian Cina.

Katanya, bagi pelajar sekolah agama, laluan khas itu melibatkan program seperti diploma dan sarjana muda dalam bidang pengajian Islam, manakala bagi pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pula hanya membabitkan bidang sastera Cina dan pengajian berkaitan.

Dalam ucapannya, Zambry menegaskan kerajaan hanya membuka ruang kepada pelajar untuk menyambung pendidikan ke peringkat pengajian tinggi dan bukan memberi pengiktirafan kepada sistem aliran bukan kebangsaan.

“Buka ruang, bukan memberi pengiktirafan. Sistem pendidikan negara tetap, kita tidak akan berubah, kita tidak akan mengiktiraf sistem lain, tetapi laluan-laluan yang diberikan.

“Asasnya mesti sama. Sebagai contoh, dari mana sistem sekalipun, sama ada sekolah itu, sekolah ini, belajar di sana, belajar di sini, nak masuk ke IPTA mesti berdasarkan kepada sistem SPM kita.

“Tak kira anda mengikuti sekolah antarabangsa ke, sekolah SPMC ke, sekolah agama yang tidak mengikut kurikulum kebangsaan, maka anda kena ikut, kena duduk ikut sistem kita, SPM,” katanya.

Semalam, KPT dalam kenyataan memaklumkan bagi lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program yang dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).

Bagi lepasan sekolah swasta serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan UEC pula, antara program yang dikenal pasti adalah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina serta Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Untuk rekod, sebelum ini pelajar lepasan tahfiz, sekolah swasta, SMPC dan UEC yang ingin memohon kemasukan ke IPTA melalui UPUOnline perlu mengambil enam mata pelajaran teras dalam SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam (wajib bagi calon beragama Islam) atau Pendidikan Moral (wajib bagi calon bukan beragama Islam).

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img