PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi memperkasa peranan badan induk itu dalam memacu pembangunan golongan belia di negara ini.
Beliau berkata, tambahan peruntukan sebanyak RM1 juta berbanding tahun lalu itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap peranan MBM yang menjadi penggerak utama agenda belia di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Jelasnya, penambahan peruntukan itu turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong pelbagai program pembangunan golongan muda.
“MBM menggerakkan satu-satunya persatuan belia di bawah naungan KBS. Jadi tahun ini, saya setuju tambah jadi RM5 juta,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 Peringkat Kebangsaan di Sendayan, Seremban hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau hari ini, Perdana Menteri meminta golongan belia untuk mempersiapkan diri dengan ilmu, kemahiran, nilai serta keyakinan untuk mendepani cabaran dunia yang semakin pantas berubah dan kompleks.
“Memberi penghormatan buat anak muda negara dalam Sambutan Hari Belia Negara yang menjadi lambang semangat, idealisme dan kekuatan generasi muda dalam mencorakkan masa depan Malaysia.
“Saya percaya generasi muda hari ini memiliki keberanian untuk berfikir secara kritis, menyuarakan pandangan dengan matang serta membawa pembaharuan demi kemajuan negara,” katanya dalam hantaran itu.
Menurut Perdana Menteri, Kerajaan MADANI akan terus memperluas peluang dalam pendidikan, latihan, pekerjaan dan keusahawanan termasuk memperkukuh sokongan kepada pekerja gig serta usahawan muda.
Katanya, penguasaan ilmu dan teknologi mesti disertai prinsip, integriti serta kesedaran untuk membina sebuah masyarakat yang lebih berdaya saing dan bermaruah.
“Sebagai komitmen terhadap agenda pemerkasaan belia, saya umumkan tambahan peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi memperkasa gerakan dan pembangunan anak muda di seluruh negara.


