KERAJAAN hari ini mengumumkan sebanyak RM5,416,100 diperuntukkan sebagai bantuan khas bagi membiayai projek penyelenggaraan dan naik taraf institusi Pendidikan Islam di Negeri Sembilan.
Peruntukan Khas Bantuan Selenggara dan Naik Taraf (SNT) Institusi Pendidikan
Islam turut disediakan bagi membantu meningkatkan tahap prasarana institusi agama termasuk institusi pondok dan Maahad Tahfiz yang memerlukan penambahbaikan serta penyelenggaraan.

Menerusi peruntukan tambahan itu, Negeri Sembilan menerima peruntukan sebanyak RM47,743,200 bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dan inisiatif berkaitan hal ehwal Islam, tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM42,327,100 diperuntukkan bagi bayaran imbuhan dan elaun 7,091 imam, bilal, siak, guru takmir dan guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Peruntukan itu turut merangkumi pemberian sumbangan khas secara sekali bayar (one-off) sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap jasa dan pengorbanan para murabbi ummah dalam memperkukuh pendidikan serta kefahaman Islam di peringkat akar umbi.
Pada tahun ini, inisiatif tersebut memberi manfaat kepada 57 institusi agama di Negeri Sembilan yang melibatkan dua institusi pondok, 18 Maahad Tahfiz, 11 sekolah agama dan 26 premis Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang beroperasi di premis bukan milik Kerajaan.
Peruntukan khas itu diumumkan sempena kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Negeri Sembilan sempena majlis Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Sendayan, Seremban hari ini.
Majlis penyerahan replika cek peruntukan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim di Masjid Sri Sendayan hari ini.
Replika cek turut diserahkan kepada wakil institusi pondok, wakil institusi tahfiz, wakil sekolah agama dan wakil premis KAFA di negeri berkenaan.
Anwar sebelum itu sempat menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Sri Sendayan.
Yang turut hadir, Menteri Agama, Dr Dzulkifli Hasan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Selesai sesi penyerahan replika cek, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra bersama masyarakat setempat dan makan tengah hari.


