KPT jawab Dong Zong: Standard kemasukan ke IPTA tidak boleh dikompromi

STANDARD dan kualiti kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tidak boleh dikompromi meskipun kerajaan membuka laluan khas kepada lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) dan tahfiz.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata, semua syarat kemasukan akan ditentukan universiti masing-masing melalui penilaian Senat universiti tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Sebenarnya kita di peringkat universiti telah ada syarat-syarat, dan ia telah pun diteliti. Tentunya di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terutama di universiti, Senat merupakan paling tinggi.

“Macam mana pun Senat universiti yang menentukan kualiti dan standard. Yang itu tidak boleh dikompromi,” katanya dalam sidang media khas berhubung laluan kemasukan pelajar di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA di KPT Putrajaya hari ini.

Beliau menjawab kritikan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mendakwa syarat kemasukan ditetapkan KPT masih terlalu tinggi kepada kumpulan itu.

Menurut Azlinda, setiap universiti mempunyai kriteria dan mekanisme penilaian tersendiri berdasarkan program yang ditawarkan termasuk syarat khas serta proses temu duga.

Jelas beliau, syarat lengkap akan diumumkan apabila permohonan dibuka secara terus kepada universiti terbabit mulai 30 Jun ini.

“Ada kriteria yang akan diumumkan, selepas permohonan dibuka, barulah mereka lihat kalau ada yang memohon, mereka akan melihat syarat berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Dong Zong mengkritik syarat yang dikenakan oleh KPT terhadap pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ingin memasuki universiti awam, dengan menyifatkan dasar itu gagal memenuhi prinsip kesaksamaan pendidikan.

Dong Zong berkata, pengumuman terbaharu kementerian yang membenarkan pemegang UEC dari sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) memohon ke universiti awam bersifat `kabur’, selain mengenakan pelbagai sekatan.

Pertubuhan itu turut menyifatkan langkah berkenaan dilihat sekadar `satu isyarat sambil lewa’ yang gagal memenuhi harapan masyarakat Cina.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img