KEMASUKAN ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu kekal berasaskan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa pengecualian kepada mana-mana calon luar sistem pendidikan kebangsaan termasuk lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan institusi tahfiz.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, semua pelajar wajib mengambil SPM sebagai syarat utama kemasukan ke IPTA.
“Kekalkan kemasukkan ke IPTA dengan menggunakan SPM sahaja! Tidak kira pelajar UEC ataupun tahfiz. Nak masuk IPTA wajib SPM.
“Dan saya percaya ramai sahaja pelajar lepasan UEC dan tahfiz yang ambil SPM seperti biasa sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa tiada keperluan untuk membuka lebih banyak ruang kelonggaran atau mengubah sesuka hati sistem pendidikan negara bagi memastikan standard kemasukan ke IPTA kekal adil.
“Tidak perlu kita buka lebih banyak ‘flood gate‘. Dasar Pendidikan Negara perlu kita ikuti bukan ditebuk sana sini,” tegasnya.
Semalam kerajaan mengumumkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.


