Muhyiddin dakwa laluan UEC ke IPTA demi kekalkan sokongan DAP

PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa pembukaan laluan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mungkin dibuat untuk memastikan sokongan berterusan DAP terhadap kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, keputusan ‘mengiktiraf’ UEC itu dibuat secara tergesa-gesa dan bermotifkan politik.

“Ia mungkin mempunyai tujuan politik untuk memastikan sokongan berterusan parti DAP terhadap kerajaan campuran yang ada pada hari ini.

“Saya ingin mengingatkan keputusan dasar yang penting tidak boleh dibuat atas pertimbangan politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan sambil meminta kajian menyeluruh dibuat.

Menurut Muhyiddin, ini termasuk implikasi terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perpaduan nasional dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa.

Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta sekolah menengah persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

KPT memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Bagi calon aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Untuk calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti adalah diploma dan sarjana muda dakwah, diploma dan sarjana muda al-Quran dan as-sunnah, sarjana muda pendidikan tahfiz serta sarjana muda pengajian Islam (dakwah).

Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti adalah sarjana muda sastera pengajian bahasa Cina dengan kepujian, sarjana muda bahasa dan linguistik Cina, sarjana muda sastera pengajian Cina dan sarjana muda bahasa Cina dengan pendidikan.

Pada sidang media petang tadi, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman menegaskan tiada pengiktirafan diberikan ke atas UEC di sebalik langkah kerajaan memperkenalkan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga bekas Menteri Pendidikan turut menggesa dasar itu dikaji semula bagi mengelakkan dwi-standard dalam kemasukan ke IPTA.

Menurutnya, setakat ini tiada badan kerajaan membuat penilaian jaminan kualiti, pengauditan sukatan mata pelajaran, proses pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan serta pemarkahan UEC.

“Keadaan ini akan mewujudkan dwi-standard dalam penilaian permohonan kemasukan pelajar warganegara Malaysia ke IPTA yang melibatkan dua saluran kemasukan yang berbeza dengan standard yang berbeza,” katanya.

Muhyiddin berkata, sewaktu menjadi Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk membincangkan cadangan pengiktirafan sijil UEC.

Menurutnya, kajian oleh Kementerian Pendidikan pada masa itu mendapati sukatan mata pelajaran dan peperiksaan UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Justeru, saya mencadangkan kepada Dong Zong supaya Kementerian Pendidikan menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan persendirian Cina termasuk sukatan mata pelajaran dan pentadbiran peperiksaan UEC sebelum kerajaan menimbangkan pengiktirafan sijil UEC.

“Namun, cadangan saya itu tidak dipersetujui oleh Dong Zong dan kerajaan membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf sijil UEC,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img