PEMANDU sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipercayai terbabit dalam kemalangan meragut nyawa dua beradik di Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang, diberkas polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, suspek lelaki tempatan berusia 75 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.40 pagi bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Hasil semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan berkaitan dadah.
“Pemandu SUV terbabit akan direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Sebelum ini, media melaporkan perjalanan dua beradik wanita untuk keluar makan malam dengan berjalan kaki bertukar tragedi apabila mereka dirempuh sebuah SUV dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam.
Dalam nahas itu, mangsa masing-masing berusia 57 dan 62 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Kejadian sama turut menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga anak kepada salah seorang mangsa mengalami kecederaan.


