POLIS sedang menyiasat insiden seorang gelandangan berkerusi roda cedera akibat dilanggar sebuah kereta di tengah jalan di Sungai Petani, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang mengalami kecederaan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.
Rakaman kamera papan pemuka kenderaan memaparkan kemalangan itu yang dikongsi secara meluas menunjukkan mangsa dilanggar sebuah kereta di tengah jalan di Taman Ria kira-kira selepas jam 1 pagi.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.


