PAKATAN Harapan (PH) Johor hari ini mengumumkan akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang, sehari selepas keputusan Barisan Nasional (BN) negeri itu untuk meletakkan calonnya di setiap kerusi.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, keputusan itu dibuat selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengisytiharkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN semalam.
“Maka, PH Johor juga akan turut sama bertanding kepada 56 kerusi.
“Mereka telah berikan laluan, mereka telah buka laluan, mereka telah berikan kata putus, maka kami tidak akan berundur,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di Johor Bahru hari ini.
DUN Johor akan terbubar secara automatik pada April 2027 jika pilihan raya tidak diadakan sebelum tempoh itu, dan selepas pembubaran, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
BN membentuk kerajaan negeri selepas menang 40 daripada 56 kerusi pada PRN Johor 2022.
PH pula menang 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) tiga, dan Muda satu.
Aminolhuda berkata, PH bersedia bertembung sekali lagi pada PRN Johor akan datang, sambil menambah mereka ‘tidak mungkin menyerah kalah’ atau ‘merayu’ (peruntukan kerusi).
“Ada negeri lain yang persoalkan mengapa kita mahu menentang sekutu sendiri, jawapannya mudah, kerana mereka yang dahulu isytihar. Mereka sudah umum, jadi kita sambut,” katanya.
Aminolhuda turut menzahirkan keyakinan PH Johor akan dapat mengulangi prestasinya dalam PRU-14 pada 2018 apabila menang 18 daripada 26 kerusi Parlimen, berbanding lapan kerusi dimenangi BN.
Beliau berkata, Johor kekal ‘memihak secara politik’ kepada PH didorong kekuatan Parlimen gabungan itu serta sokongan di kawasan bandar.


