Pemimpin PH Pulau Pinang diingatkan tidak bersikap selesa hadapi PRU-16

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang khususnya DAP, diingatkan tidak dibuai keselesaan dengan status kubu kuat sejak dua dekad lalu, sebaliknya perlu bersedia mendepani pertempuran Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang dijangka lebih mencabar.

Pengerusi PH Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, landskap politik tanah air kini berubah drastik dengan sentimen pengundi yang berbeza sebagaimana berlaku dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah baru-baru ini.

“Di Sabah, kita sedikit sebanyak dapat perhatikan angin pengundi begitu senang berubah, dan walaupun sekian lama wakil rakyat banyak menabur bakti, ia bukan jaminan kepada genggaman kemenangan di kerusi masing-masing.

“Rakyat hari ini mahu melihat bukan sekadar slogan, tetapi kepimpinan yang mampu membawa kestabilan, pembangunan dan keyakinan terhadap masa depan negeri,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru hari ini.

Seiring perubahan sentimen politik itu, Kon Yeow berkata, beliau memilih untuk mengamalkan politik bertanggungjawab berbanding populariti walaupun kini berada dalam penggal terakhir sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Ada yang menyatakan saya boleh memilih politik selesa (kerana penggal terakhir). Tetapi saya tidak memilih jalan itu. Saya memilih untuk meneruskan keputusan yang diyakini penting demi masa depan Pulau Pinang, walaupun ia mungkin mengundang rasa tidak puas hati dalam jangka pendek,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Perikatan Nasional (PN) kini memperhebat usaha memperluas pengaruh di Pulau Pinang, khususnya menerusi Pas dan Gerakan yang memberi tumpuan kepada kawasan majoriti Melayu di Seberang Perai dan Balik Pulau.

Kon Yeow berkata, PN cuba membina momentum politik dengan memainkan isu setempat seperti kos sara hidup, tarif air, cukai tanah serta sentimen berkaitan “elit bandar” bagi mempengaruhi sokongan rakyat di negeri itu.

“PRU akan datang bukan sekadar soal siapa yang paling kuat berkempen. Ia adalah soal siapa yang rakyat percaya mampu memimpin ketika keadaan menjadi sukar.

“Negeri ini (Pulau Pinang) memerlukan kepimpinan yang matang, stabil dan berani membuat keputusan demi masa depan rakyat walaupun terpaksa menanggung risiko politik,” katanya.

Kon Yeow turut menyentuh mengenai kepentingan memperkukuh kerjasama PH-Barisan Nasional (BN) di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan dan persediaan pelapis kepimpinan pasca-Ketua Menteri bagi memastikan kestabilan politik negeri terus terjamin.

Konvensyen PH 2026 bertemakan “Tekad MADANI, Harapan Rakyat”, menghimpunkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pimpinan dari seluruh negara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img