Keputusan BN, PH bertanding semua kerusi DUN tidak jejas hubungan Kerajaan Perpaduan – Fahmi

KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Johor yang mahu bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan menjejaskan kerjasama kedua-dua parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun kedua-dua parti di peringkat negeri telah mengumumkan keputusan dan pandangan masing-masing namun ruang rundingan masih boleh dibuka menjelang PRN Johor akan datang.

“Kita tunggu dan dengar pandangan pimpinan utama PH petang nanti. Adakah ia akan memberi kesan kepada kerjasama dalam kerajaan Persekutuan? Tidak,” katanya dalam sidang media di Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi diminta mengulas pengumuman BN dan PH Johor yang mahu bertanding semua 56 kerusi DUN pada PRN negeri itu tidak lama lagi.

Terdahulu, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan mengumumkan gabungan itu bakal bertanding semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang, dan keputusan itu hadir selepas Pengerusi BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi kata putus BN akan bertanding semua kerusi DUN, semalam.

Onn Hafiz semalam dilaporkan berkata, keputusan untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN dibuat selepas mengambil maklum pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang PRN.

Pada PRN 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN, PH (12), Perikatan Nasional (3) dan MUDA (1).

Sementara itu, Fahmi berkata, Konvensyen PH yang berlangsung hari ini dilihat menjadi pentas penting dalam menentukan hala tuju gabungan itu, termasuk persediaan menghadapi kemungkinan PRN Johor dan Melaka tahun ini.

Menjelaskan demikian, Fahmi yang juga Pengarah Konvensyen PH 2026 menyifatkan konvensyen kali ini sebagai luar biasa.

Beliau berkata, program hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Setakat tengah hari, pendaftaran melebihi 5,000 orang, manakala jumlah kehadiran dianggarkan lebih 8,000 orang. Ada yang tidak mendaftar, ada juga yang berada di luar dewan, tetapi kehadiran amat menggalakkan dan luar biasa,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img