PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengajak semua rakyat untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal memimpin negara.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, sekiranya rakyat mempunyai hasrat menukar Perdana Menteri, biarlah ia dilakukan menerusi pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun katanya, daripada meletakkan harapan pada individu lain yang mungkin tidak kesampaian, lebih baik meletakkan sokongan terus kepada Anwar.
“Kalau kita rasa nak ubah Perdana Menteri, nak ubah tak?. Sekurang-kurangnya tunggu pilihan raya akan datang.
“Saya pun teringin jadi Perdana Menteri. Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) payah sikit. Saya ada harapan, tetapi daripada harapan kita mungkin hancur berkecai, baik kita sokong terus Datuk Seri Anwar,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru hari ini.
Bercakap mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mohamad berkata, sekiranya PRN Johor terus berpihak kepada Barisan Nasional (BN), semua peruntukan atau usaha dibuat untuk Johor oleh Kerajaan Persekutuan tetap diteruskan.
Beliau berkata, dalam soal rakyat, Kerajaan Persekutuan tidak memandang pada warna ‘baju’ (parti).
“Kita lihat peruntukan di seluruh negara tidak kira negeri mana, kita tidak kenal warna, yang rajin kita sokong, yang malas, kalau warna oren pun saya tidak sokong.
“Contoh mengenai bidang pertanian dan juga keterjaminan makanan, bila PRN Johor nanti, Insya-Allah isu makanan terjamin.
“Untuk pertanian, RM201 juta adalah untuk Johor. Nak tarik balik atau tak? Tidak. Rakyat Johor rakyat Malaysia, bahkan saya minta Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan untuk tambah peruntukan itu.
“Sebagai Menteri (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), tak ada niat langsung nak kurangkan,” jelasnya.


