SEORANG wanita cedera selepas ditikam di leher oleh lelaki dikenalinya di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas di Alor Setar malam ini.
Kejadian dipercayai berlaku jam 9.15 malam tadi dan mangsa adalah wanita berusia 35 tahun yang juga penjawat awam.
Mangsa dipercayai ditikam pada bahagian leher kanan sewaktu berada di dalam keretanya dan mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.
Setakat ini, keadaan mangsa dilaporkan stabil.
Pasukan dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sedang melakukan siasatan di lokasi.
Satu sidang media akan diadakan di lokasi kejadian oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali.


