Dua jet tempur AS bertembung ketika petunjukan udara di Idaho

DUA  jet tempur EA-18 Amerika Syarikat (AS) dilaporkan bertembung di udara ketika pertunjukan udara Gunfighter Skies di Pangkalan Udara Mountain Home, Idaho pada Ahad waktu tempatan. Insiden dramatik itu mencetuskan letupan besar dan kepulan asap hitam tebal di sekitar kawasan pangkalan tentera berkenaan.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan dua jet terbang dalam formasi rapat sebelum bertembung di udara. Beberapa saat selepas perlanggaran berlaku, kelihatan percikan api dari badan pesawat sebelum kedua-duanya terhempas ke tanah dan meletup.

Video tersebut turut memperlihatkan empat payung terjun terbuka di ruang udara beberapa saat selepas perlanggaran, menandakan semua kru pesawat berjaya melenting keluar  sebelum pesawat menghentam daratan.

Menurut laporan media tempatan IdahoNews, kedua-dua pesawat yang terlibat dipercayai merupakan jet tempur EA-18G Growler. Perlanggaran berlaku kira-kira 3.2 kilometer  dari pangkalan udara yang terletak sekitar 80 kiloter  di tenggara Boise pada Ahad (17 Mei 2026), seperti dilaporkan beberapa media Barat.

Pihak pangkalan tentera mengesahkan pasukan tindak balas kecemasan segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan kawasan pangkalan ditutup untuk proses pengendalian insiden.

Dalam kenyataan rasmi di media sosial, Tentera Udara AS memaklumkan siasatan telah dibuka bagi mengenal pasti punca kemalangan tersebut.

Pengumuman dalaman di pangkalan itu turut menyebut semua juruterbang yang terlibat berjaya keluar menggunakan kerusi lenting dan berada dalam keadaan “baik-baik sahaja”. Bagaimanapun, setakat ini belum ada butiran rasmi mengenai kemungkinan kecederaan atau tahap kerosakan pesawat.

Jet EA-18G Growler merupakan antara pesawat peperangan elektronik utama tentera AS yang digunakan untuk misi gangguan radar, komunikasi dan sistem pertahanan udara musuh. Pesawat itu lazimnya dikendalikan oleh dua kru dan sering digunakan dalam latihan serta operasi tempur moden.

Insiden ini menambah senarai kemalangan udara tentera yang berlaku ketika latihan dan pertunjukan udara di Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img