LELAKI yang melarikan diri selepas dipercayai menikam seorang wanita di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas malam tadi, akhirnya diberkas polis awal pagi tadi.
Suspek berusia 32 tahun itu ditahan kurang 24 jam selepas kejadian dan dijangka direman hari ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali mengesahkan penahanan suspek terbabit.
“Ya, suspek sudah berjaya ditangkap dan akan direman hari ini,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam semalam, seorang wanita berusia 35 tahun dilaporkan cedera selepas ditikam di bahagian kanan leher oleh seorang lelaki yang dikenalinya.
Mangsa dipercayai diserang ketika berada di dalam sebuah Mazda 3 di hadapan restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas.
Suspek kemudian melarikan diri sejurus selepas kejadian sebelum gerakan mengesannya dilancarkan pihak polis.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.


