INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara menerusi kerjasama strategik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan penyerahan 1,000 anak sulur nanas varieti MS16.
Program yang berlangsung di pejabat JPJ Negeri Perlis di Jalan Jejawi Permatang itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Menurut beliau, program tersebut bukan sekadar simbolik penyerahan anak sulur nanas, malah menjadi manifestasi komitmen berterusan MARDI dalam memperkasa sektor pertanian negara melalui penyelidikan, inovasi serta pemindahan teknologi kepada masyarakat.
“Ini merupakan kerjasama strategik kedua MARDI selepas sebelum ini kita bekerjasama dengan pihak Jabatan Penjara. Kali ini bersama JPJ Perlis dan kita berharap ia menjadi permulaan kepada lebih banyak projek pertanian komuniti melibatkan agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui media pada majlis tersebut di Arau hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPJ Negeri Perlis, Noraini Mohd Nawi, Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Dr Zulhazmi Sayuti dan Pengarah MARDI Negeri Perlis, Noorman Affendi Marzukhi.
Pada majlis itu, sebanyak 1,000 anak sulur nanas MS16 akan diusahakan oleh warga JPJ Perlis di sekitar kawasan jabatan sebagai usaha menggalakkan aktiviti pertanian komuniti selain meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keterjaminan makanan negara.
Mengulas lanjut, Dr Mohamad Zabawi berkata, MARDI turut bersedia membantu JPJ Perlis dengan membekalkan benih tanaman lain pada masa hadapan termasuk durian, rambutan dan belimbing yang merupakan varieti keluaran institute penyelidikan itu.
“Setakat ini di JPJ Perlis kita mulakan dengan nanas dahulu dan insya-Allah kita akan cuba bantu dengan tanaman lain untuk kegunaan harian di dapur dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut optimis projek tersebut mampu berkembang dalam tempoh beberapa tahun memandangkan satu pokok nanas boleh menghasilkan sehingga enam atau tujuh sulur baharu.
“Kalau hari ini kita tanam 1,000 pokok, mungkin selepas 15 bulan nanti jumlah itu boleh berkembang kepada 7,000 hingga 8,000 pokok. Ini harapan kita untuk memperluaskan program yang dimulakan hari ini,” katanya.
Varieti nanas MS16 merupakan hasil penyelidikan MARDI yang mempunyai potensi tinggi untuk dikembangkan secara komersial. Varieti tersebut mempunyai berat purata sekitar 1.5 kilogram sebiji dan mampu menghasilkan sehingga 48 tan sehektar.
Selain itu, MS16 memiliki tahap kemanisan antara 16 hingga 21 peratus Brix, isi berwarna kuning, tekstur rangup, aromatik dan sesuai dimakan segar. Varieti ini juga toleran terhadap penyakit reput teras bakteria serta mampu menghasilkan lebih lima sulur dalam satu masa.
MARDI berharap program seumpama itu dapat menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih ramai masyarakat khususnya generasi muda dalam sektor pertanian moden yang kini semakin berasaskan teknologi, inovasi dan berpotensi tinggi untuk menjana pendapatan.


