SEORANG remaja lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya dipercayai putus selepas van dinaikinya ditembusi tiang lampu Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kemalangan di Jalan Losong Feri di Kuala Terengganu, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa, Wah Han Keong, 18, yang merupakan penumpang hadapan sebuah van Nissan Vanette disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI dan van Nissan Vanette.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 43 tahun itu dalam perjalanan dari arah bandar Kuala Terengganu menghala ke Muzium Losong sebelum dipercayai hilang kawalan.
“Kenderaan itu kemudian terbabas lalu melanggar tiang JKR di pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh van dinaiki mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari arah Taman Manir menuju ke bandar Kuala Terengganu,” katanya.
Menurut beliau, pelanggaran kuat itu menyebabkan tiang JKR berkenaan tumbang dan tertembus ke dalam van sehingga terkena mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.
“Pemandu kereta bersama tiga lagi penumpang termasuk seorang bayi berusia setahun tidak mengalami kecederaan, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mengalami luka ringan pada kaki.
“Pemandu van berusia 49 tahun pula mengalami kecederaan ringan pada tangan,” katanya.
Azli berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


