SUAMI kepada pelakon tempatan, Azar Azmi hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini dalam keadaan bertongkat bagi prosiding sebutan semula kes membabitkan dakwaan penipuan urusan gelaran Datuk dan tanah kurniaan negeri Selangor.
Tertuduh, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia masih belum melantik peguam kerana masih ditahan di penjara selepas gagal membayar wang jaminan RM21,000 yang ditetapkan sebelum ini.
Menurutnya, keluarganya kini sedang mengumpul wang bagi membolehkan dia dibebaskan dengan ikat jamin sebelum melantik peguam bela.
“Belum lagi, saya masih dalam penjara sebab keluarga sedang kumpulkan duit untuk bayar ikat jamin RM21,000.
“Awal bulan Jun mereka akan bayar ikat jamin. Selepas saya keluar, saya akan usahakan untuk lantik peguam,” katanya ketika menjawab pertanyaan Hakim Norina Zainol Abidin.
Pada 11 Mac lalu, Mohd Apri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan menipu dua lelaki berkaitan urusan mendapatkan darjah kebesaran bergelar Datuk dan tanah kurniaan negeri Selangor yang didakwa tidak wujud.
Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, dia didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 56 tahun sehingga mangsa membuat pembayaran RM270,811 secara dalam talian ke akaun milik seorang wanita berusia 35 tahun bagi urusan mendapatkan tanah kurniaan negeri Selangor.
Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk menyerahkan wang RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran bergelar Datuk.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Seremban 2 antara 22 Oktober hingga 9 November tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Mohd Ideris.


