MASALAH enjin menyebabkan sebuah pesawat tempur melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang awam, semalam.
Dalam satu kenyataan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata pesawat jenis F/A-18D Hornet itu mengalami masalah enjin semasa penerbangan pulang setelah latihan waktu malam di Kota Belud, Sabah.
Menurut TUDM, juruterbang melaksanakan tatacara keselamatan semasa kejadian, dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai langkah keselamatan. Pesawat mendarat dengan selamat pada 7.47 malam.
“TUDM mengaturgerakkan pasukan teknikal ke KKIA bagi melaksanakan proses pemeriksaan dan bantuan teknikal ke atas pesawat berkenaan,” kata kenyataan itu.
TUDM memberi jaminan bahawa keselamatan operasi penerbangan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan misi dan latihan.


