Bersama tangani krisis tenaga bukan sibuk nak pilihan raya

 APABILA  krisis politik berlaku di Negeri Sembilan, ketika BN Johor umumkan akan bertanding kesemua 56 kerusi pada PRN manakala Melaka mengatakan PRN akan diadakan dalam tempoh enam bulan maka ramailah yang bercakap mengenai Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Tetapi ketika persoalan politik itu dibangkitkan,ketika begitu heboh orang membicarakannya  dan semasa orang sedang menghitung  siapa boleh menang kenyataan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil semalam mungkin sedikit sebanyak boleh meredakan keadaan dan menghentikan segala spekulasi.

Sebagai Jurucakap Kerajaan, beliau memaklumkan semua parti komponen khususnya Barisan Nasional dan parti dari Sabah Sarawak menyatakan sokongan dan komitmen mahu Kerajaan Perpaduan terus berkhidmat sehingga tempoh mandat berakhir iaitu selewat-lewatnya Disember 2027.

Keputusan atau pendirian parti-parti tersebut amat tepat sekali kerana sekarang bukan masa untuk berpolitik, sekarang bukan saatnya mahu berbalah berebut kuasa tetapi ini waktunya semua pihak, semua ahli politik dan seluruh rakyat Malaysia bersatu memelihara kestabilan.

Ia memandangkan di hadapan kita ada cabaran yang besar iaitu Krisis Tenaga Global (KTG) yang dikatakan akan lebih mengganas pada Jun dan Julai ini.

Dalam wawancara bersama radio BFM,  Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Nurhisham Hussein sudah memberi peringatan, krisis KTG tidak pernah dialami oleh Malaysia.

Kata beliau, keadaan semasa amat tidak selesa kerana walaupun bekalan alternatif boleh diperoleh daripada sumber lain, penghantarannya mungkin tidak tiba tepat pada waktunya bagi menampung permintaan industri.

Beliau berkata, tempoh Jun dan Julai dijangka menjadi titik kritikal yang memperlihatkan kesan sebenar krisis berkenaan apabila syarikat-syarikat mula berdepan kekurangan bahan mentah untuk meneruskan pengeluaran.

“Banyak perniagaan ketika ini masih bergantung kepada stok lama yang sedia ada. Namun menjelang pertengahan tahun, stok itu dijangka habis digunakan sedangkan bekalan baharu masih belum tiba,” katanya

Semua itu bukan disebabkan oleh faktor dalaman  atau berpunca daripada kerajaan gagal menguruskan ekonomi atau sumber bekalan dan tenaga negara tetapi ini angkara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan sekutunya  Perdana Menteri Israel yang juga penjenayah antarabangsa, Benjamin Netanyahu.

Tindakan gila mereka menyerang Iran menyebabkan satu dunia huru-hara dan Malaysia turut terkena tempiasnya kerana peperangan itu menyebabkan penghantaran bekalan minyak dan barang-barang dari Selat Hormuz turut terganggu.

Sudah berkali-kali diterangkan oleh kerajaan khususnya melalui Kementerian Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), pakar-pakar ekonomi dan pihak-pihak lain, tetapi kalaulah ‘kepala otak sudah penuh jisim politik, apapun penjelasan kerajaan tidak akan diterima’.

Namun kita tidak perlu membuang masa melayan kelompok sedemikian kerana apa yang penting bagi kerajaan ialah memberi perhatian penuh untuk berhadapan dengan KTG.

Oleh itu kesemua parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu bersatu padu dan teguh bersama untuk menanganinya kerana di tangan merekalah nasib negara akan ditentukan sama ada kita akan mampu mengharungi krisis tersebut atau tidak.

 Apabila parti-parti dalam kerajaan sepakat untuk terus mempertahankan kerajaan sedia ada  sehingga tempoh mandat berakhir, ia boleh dianggap satu tindakan bijak dan membuktikan kesemua kepimpinan parti meletakkan kepentingan negara dan rakyat  mengatasi segala-galanya.

Untuk Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, jika mereka mahu mengadakan pilihan raya negeri, silakan sahaja tetapi jangan dalam tempoh kritikal khususnya Jun atau Julai.

Memanglah pilihan raya juga boleh dianggap tempoh kritikal untuk parti-parti politik khususnya parti yang memerintah tetapi ‘tempoh kritikal’ itu boleh dielakkan dan di dalam kawalan kita.

Ini berbeza dengan tempoh kritikal KTG yang di luar kawalan kita cuma kita ada masa untuk membuat persediaan  untuk menghadapinya. Kalaulah ada juga yang mendesak PRU diadakan, biarlah mereka terjun dengan labu-labunya. Biarlah rakyat menilai sikap politik tidak bertempat mereka itu.

Kerajaan sedia ada bertanggungjawab menguruskan negara dan menjaga kesejahteraan rakyat bukannya sibuk mahu mempertahankan kuasa. Lagipun rakyat sudah muak dengan politik.

Sekarang inipun bila minyak sekejab naik, sekejab turun…mereka sudah gelisah bagaimana jika kita memasuki tempoh kritikal pada Jun dan Julai nanti? Kalau apa-apa berlaku sudah pasti kerajaan akan disalahkan.

Cabaran kerajaan ialah untuk membentangkan fakta kepada rakyat walaupun ia pahit dengan hasrat cuba mengurangkan beban mereka semampu mungkin. Atas sebab itulah ini bukan masa untuk mengadakan pilihan raya tetapi ini masa untuk menguruskan negara.

Dalama usaha itu khususnya bagi menghadapi KTG, kerjasama dan perpaduan pihak diperlukan. Pemimpin politik tanpa mengira parti mesti bersatu, rakyat mesti sepakat kerana ini demi kepentingan tanah air kita.

Kalau bijak dalam ekonomi, Alhamdulillah..tetapi jangan gunakan kebijaksanaan itu untuk melakukan kejahilan dengan memberikan fakta yang mengelirukan rakyat melalui media-media sosial.

Kalau mahu berpolitik pula tunggulah masanya, PRU pasti diadakan apabila tempohnya sampai. PRU ada masa, PRU boleh dirancang tetapi KTG datang tak kira masa, KTG datang tanpa boleh dirancang. Tak kan itupun tak boleh faham atau buat-buat tak faham.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img