SEORANG wanita maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dinaiki empat sekeluarga di Jalan Kampung Kuala Bakong, Kuala Ketil, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di lokasi kejadian.
Menurutnya, sepasukan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling kemudian dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati motosikal ditunggangi mangsa dari arah Kuala Ketil menghala ke Kampung Surau Bakai.
“Kereta pula dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun bersama isterinya berusia 34 tahun serta dua anak mereka masing-masing berusia empat tahun dan dua bulan dari arah Baling menghala ke Merbau Pulas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu serta penumpang kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling untuk proses bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.


