SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 0.6 Lebuhraya Linkedua arah selatan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, ketika kejadian mangsa bersama isterinya yang berusia 29 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.
“Penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori yang bergerak perlahan akibat kesesakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, isteri mangsa yang membonceng motosikal mengalami kecederaan di kepala dan tangan kiri sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.
Katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat mangsa dibawa ke HSA untuk bedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Kaunter Aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322 bagi membantu siasatan.


