29 aktivis GSF 2.0 Malaysia ditahan tentera Israel dalam keadaan stabil, selamat -SNCC

KESEMUA 29 aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 Malaysia yang ditahan rejim Israel dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan selamat di Pelabuhan Ashdod sementara menunggu akses pasukan guaman.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya menerima pengesahan daripada pasukan guaman bahawa semua aktivis berada dalam keadaan baik meskipun didakwa berdepan tekanan dan layanan tidak berperikemanusiaan.

“Pasukan guaman Sumud Nusantara iaitu Centre For Human Rights Research and Advocacy dengan kerjasama The Legal Center for Arab Minority Rights yang berpangkalan di Haifa sudah bersedia di Pelabuhan Ashdod dan mengesahkan aktivis kemanusiaan termasuk rakyat Malaysia berada dalam keadaan stabil.

“Mereka kini sedang menunggu kebenaran untuk bertemu pasukan peguam,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara hari ini.

Menurutnya, SNCC memandang serius tindakan rejim Israel yang didakwa melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva dan Statut Rom susulan dakwaan kekerasan fizikal, tekanan mental serta ugutan terhadap aktivis tidak bersenjata.

Beliau berkata, SNCC turut mengecam tindakan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir bersama pasukan tentera Israel (IOF) yang didakwa melakukan kekerasan terhadap aktivis kemanusiaan flotilla.

Katanya, sebahagian aktivis dijangka dipindahkan ke Penjara Ketziot dalam masa terdekat.

“Sekurang-kurangnya 87 aktivis yang kini ditahan di Pelabuhan Ashdod sudah melancarkan mogok lapar berskala besar sebagai bantahan terhadap penahanan yang disifatkan sebagai pencabulan hak asasi manusia,” katanya.

Sani Araby berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghubunginya pagi tadi dan memberi jaminan bahawa kerajaan sedang mengetuai usaha diplomatik secara maksimum bersama beberapa negara termasuk Turkiye.

“Perdana Menteri memaklumkan beliau telah berhubung rapat dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan bagi mendesak pembebasan segera seluruh aktivis yang diculik, memastikan mereka selamat dan mengelakkan mereka dipenjarakan di Penjara Ketziot,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut memaklumkan bahawa Wisma Putra sedang menggandakan usaha diplomatik bersama beberapa negara lain termasuk melalui kedutaan Malaysia di Istanbul, Amman dan Kaherah.

Katanya, insiden itu turut mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa dengan beberapa negara termasuk Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal dilaporkan mengecam tindakan Israel di perairan antarabangsa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img