SEORANG lelaki kerugian RM117,600 selepas terperdaya dengan tawaran tender palsu membekalkan kerusi dan meja untuk kantin sebuah sekolah menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.
Mangsa berusia 47 tahun tampil membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu sindiket yang menyamar menawarkan projek pembekalan untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siburan.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berkaitan kejadian itu, semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa berada di sebuah kedai kopi di Jalan Padungan.
“Mangsa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang menawarkan tender membekalkan kerusi dan meja untuk kegunaan kantin SMK Siburan.
“Mangsa kemudian diberikan beberapa nombor telefon pembekal kononnya bagi memudahkan urusan tempahan dilakukan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang percaya dengan tawaran itu kemudian membuat lima transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun bank berbeza pada hari sama.
“Jumlah keseluruhan wang dipindahkan adalah RM117,600 bagi tujuan tempahan barangan terbabit,” katanya.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas pergi ke SMK Siburan sebelum dimaklumkan pihak sekolah tidak pernah membuat sebarang tempahan seperti didakwa sindiket berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta.


