SEORANG penoreh getah dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan seorang anggota polis menggunakan senjata tajam, Sabtu lalu.
Tertuduh, Nor Azuan Ariffin, 44, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal Muhammad Syahrill Jusof menggunakan senjata tajam pada 16 Mei lalu di tepi sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Star Baru.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mariana Mat Kudin bagaimanapun merayu hukuman diringankan atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak menentu.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Mei lalu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, anggota Balai Polis Bertam itu cedera selepas diserang seorang lelaki bersenjata tajam ketika menjalankan Ops Bersepadu Jenayah di Kampung Star Baru.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika anggota polis menjalankan operasi pencegahan jenayah sebelum terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah.
“Anggota terbabit memperkenalkan diri sebagai polis dan menunjukkan kad kuasa, namun suspek tiba-tiba bertindak agresif dengan meluru ke arah mangsa sambil memegang senjata tajam,” katanya.


