MCMC keluar tuntutan statutori ke atas TikTok, gagal tangani kandungan hina institusi Diraja

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap TikTok susulan kegagalan platform media sosial itu mengambil tindakan sewajarnya dalam tempoh munasabah bagi menyekat serta menurunkan kandungan jelik melampau, palsu dan mengancam terhadap institusi Diraja.

Tindakan itu diambil susulan penularan kandungan dikaitkan dengan satu akaun yang kononnya berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, kandungan berkenaan mengandungi kenyataan jelik melampau, palsu, mengancam dan menghina, selain video dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta imej dimanipulasi.

“Kandungan berkenaan bukan sahaja berkemungkinan melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tetapi juga undang-undang jenayah lain di Malaysia,” kata kenyataan dikeluarkan MCMC hari ini.

Menurut MCMC, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk menyebarkan kandungan jelik melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya membabitkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Perkara ini tergolong dalam konteks 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap institusi Perlembagaan,” tegas MCMC.

Menurut kenyataan itu juga, walaupun makluman dan libat urus terdahulu sudah dilaksanakan, respons TikTok dalam menangani kandungan berkenaan didapati tidak memuaskan, khususnya dalam memastikan penurunan kandungan dibuat segera serta menghalang penyebaran lanjut kandungan memudaratkan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, sebagai platform yang menyediakan perkhidmatan media sosial di Malaysia, pemberi perkhidmatan mempunyai tahap tanggungjawab lebih tinggi bagi memastikan perkhidmatan mereka tidak dieksploitasi untuk aktiviti memudaratkan dan menyalahi undang-undang.

“MCMC menegaskan bahawa ia akan terus mengambil tindakan kawal selia yang perlu dan setimpal dalam bidang kuasanya, termasuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya wajar, bagi menangani penyalahgunaan platform dalam talian.

“Pemberi perkhidmatan media sosial harus bertindak secara bertanggungjawab dan pantas dalam menangani kandungan yang menyalahi undang-undang, memudaratkan atau mengancam ketenteraman awam, khususnya dalam perkara yang menyentuh sensitiviti 3R,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, pengeluaran Tuntutan Statutori berkenaan menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera, termasuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan.

Selain itu, TikTok turut dikehendaki memastikan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform, selain memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan mudarat terbabit.

“MCMC akan terus mengambil tindakan tegas dan setimpal yang perlu bagi memastikan platform digital yang beroperasi di Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mengekalkan persekitaran dalam talian yang berhemah, selamat dan terjamin,” menurut suruhanjaya itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img