SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian serta mengurangkan risiko kandungan memudaratkan di platform digital.
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan, Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) diterbitkan hari ini dan akan berkuat kuasa 1 Jun depan susulan sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan berkaitan.
Menurut MCMC, pelaksanaan kedua-dua kod itu turut melibatkan proses rundingan awam yang dijalankan dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.
“MCMC hari ini telah menerbitkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
“CPC dan RMC merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian,” menurut kenyataan MCMC itu yang dikeluarkan hari ini.
Suruhanjaya itu menjelaskan, pelaksanaan obligasi utama di bawah ONSA adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memastikan pengalaman digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
Turut dinyatakan, langkah berkenaan juga dapat memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, selain memberi keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks.
“Kod ini menetapkan jangkaan yang jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan dalam perkhidmatan masing-masing, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan,” menurut MCMC.
MCMC memaklumkan, pendekatan pelaksanaan di bawah kod berkenaan adalah berasaskan hasil, sekali gus memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan.
Menurut kenyataan itu lagi, CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak melalui penerapan prinsip safety by design dalam perkhidmatan digital.
Ia termasuk perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun.
“Langkah di bawah CPC menyediakan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada kandungan eksploitasi dan memudaratkan,” katanya.
Sementara itu, RMC pula menghendaki pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan.
Antara langkah ditetapkan termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons yang berkesan, selain langkah pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi.
Tempoh pelaksanaan munasabah juga diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan secara teratur.
Berikut adalah kenyataan media MCMC berhubung pengenalan dua kod baharu tersebut:




