MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kebimbangan baginda terhadap pertelingkahan dalam kalangan orang Melayu serta umat Islam tepat pada waktunya ketika wujud kecenderungan segelintir pihak untuk meniup api perkauman, memperalatkan sentimen agama dan institusi diraja demi kepentingan politik sempit.
Menurut beliau, titah baginda sempena Hari Raya Aidiladha itu menekankan peri penting perpaduan umat, keharmonian masyarakat berbilang kaum serta tanggungjawab seluruh rakyat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan dan kestabilan negeri Selangor serta Malaysia.
“Justeru itu, semua pihak termasuk pembangkang harus menghentikan amalan ‘selective loyalty’ kononnya mempertahankan raja, agama dan bangsa hanya apabila menguntungkan kedudukan politik mereka, tetapi mengabaikan prinsip yang sama apabila tidak memihak kepada kepentingan sendiri.
“Watak ini juga membisu hanya kerana politik apabila terdapat pihak luar yang menghina dan mencela kewibawaan institusi Diraja Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin berkata, Malaysia dibina bukan atas kebencian kaum ataupun ketakutan agama, tetapi atas semangat muafakat, persefahaman antara pelbagai latar belakang, dan keluhuran undang-undang yang menerima asas pembinaan Malaysia.
Katanya, rakyat juga harus menjunjung kasih titah Sultan Selangor untuk menghayati Rukun Negara secara menyeluruh, termasuk membaca dan memahami latar belakang serta mukadimahnya, kerana di situlah terkandung cita-cita besar para pendiri negara untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, demokratik, adil, dan progresif.
“Rukun Negara bukan sekadar lafaz di majlis rasmi, tetapi falsafah kebangsaan yang harus dihayati dalam kehidupan bernegara.
“Selain itu, semua pihak harus meneliti Perlembagaan Persekutuan secara jujur dan bertanggungjawab serta membaca Pengisytiharan Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj supaya sejarah negara tidak diputar belit menurut kepentingan politik sempit,” katanya.
Amirudin berkata, Malaysia dengan jelas diasaskan sebagai sebuah Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Justeru, katanya, sebarang cubaan untuk mengherotkan sejarah negara, menanam kebencian antara kaum ataupun mempersoalkan kerangka Perlembagaan demi keuntungan politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada masa depan negara.
“Kerajaan Selangor akan terus berpegang kepada semangat perpaduan, kesederhanaan dan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan serta kedaulatan undang-undang sebagaimana yang digariskan oleh pengasas negara yang dizahirkan semula melalui titah dan nasihat Sultan Selangor.
Sultan Sharafuddin hari ini bertitah menyeru orang Melayu dan umat Islam terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah rakyat jelata.
Dalam perutusan sempena Adiladha, Sultan Sharafuddin mengingatkan, jika mereka terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka mereka yang akan rugi dan lemah.


