Azmin cabar pemimpin ingkar titah Sultan Selangor letak jawatan

KETUA Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekali lagi mengulangi dakwaannya bahawa kerajaan negeri gagal mengambil serius titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung urus tadbir negeri.

Malah, beliau turut memetik titah baginda ketika istiadat pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan berkata, “Namun malangnya, nasihat beta tidak dipeduli dan tidak diambil berat, diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi.”

“Siapa daun keladi? Kalau saya menjadi beliau duduk di situ, saya tidak ada pilihan lain. Lebih baik letak jawatan, kalau titah Tuanku Sultan pun tidak diambil berat, bagaimana pula pandangan rakyat di bawah,” katanya, lapor Sinar Harian.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap semasa Konvensyen parti Bersatu Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Bendahari Agung Bersatu, Datuk Seri Rina Harun.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Selangor berkata, keadaan itu jelas apabila pelbagai isu membabitkan rakyat seperti banjir, masalah kebersihan dan jalan rosak terus berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh.

Menurutnya, keadaan itu bukan mencerminkan identiti sebenar Selangor sebagai negeri maju dan penyumbang ekonomi negara.

“Banjir, sampah, jalan berlubang bukanlah jati diri negeri Selangor. Sebab itu kami akan berusaha sedaya upaya untuk menggantikan kerajaan daun keladi dengan kerajaan yang peduli rakyat di negeri Selangor,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Bersatu Selangor akan terus memperkukuh gerak kerja bagi menawarkan pentadbiran yang lebih prihatin dan berorientasikan penyelesaian kepada rakyat.

Katanya, konvensyen tersebut menjadi platform memperkukuh persiapan jentera parti dan meyakinkan rakyat bahawa Selangor memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar peduli serta menghormati institusi diraja dan suara rakyat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img